Jumaat, 1 April 2011

PARLIMEN BUKIT GANTANG

PARLIMEN BUKIT GANTANG


Jangan benarkan isu video seks lupakan kita kepada isu pokok

Posted: 31 Mar 2011 01:23 AM PDT

oleh Ahmad Lutfi Othman:

SUKAR
sekali untuk saya menulis kolum kali ini. Selepas hampir dua jam terpaku di depan komputer, melayari pelbagai laman, kaki semakin lenguh menyengat dan pinggang sakit, namun idea belum juga muncul. Apa lagi yang menyiksakan bagi mana-mana penulis selain kebuntuan mencari ilham sedangkan masa bergerak pantas.


Juru fisioterapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sering mengingatkan saya agar jangan terlalu "berlama-lamaan" menaip. Harus mengadakan senaman ringan atau paling tidak, menggerak-gerakkan anggota badan setiap 15 minit. Tetapi, adatlah, apabila asyik menulis atau ligat mencari bahan mengejar dead-line, tiga empat jam berlari pantas, segala nasihat terabai. Sedar-sedar, kaki tidak dapat dibengkok dan terasa kebas.


Kalau boleh memang saya mahu menghindari topik yang hangat dibicarakan, iaitu kes video seks-lucah yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim. Menyebutnya pun sudah meloyakan, apatah lagi dikaitkan dengan pelacur China. Ia terpampang di dada akhbar, memenuhi muka depan, hinggakan anak bongsu saya, berusia lapan tahun bertanyakan ibunya, "seks itu apa, bu?"


Isteri sekadar menjeling tajam ke arah saya, mungkin menagih jawapan yang beradab. Kemusykilan si anak tidak dapat dirongkai. Kebetulan Harakah juga menjadikannya berita utama dan turut dibaca anak kecil. Ya, sukar juga untuk kami menyorot isu lain dalam keadaan negara hiruk-pikuk tertumpu kepada kontroversi berkenaan. Lebih penting, pembaca menuntut penjelasan dan fitnah mesti disanggah.


Saya kira ramai lagi yang mempunyai pengalaman hampir serupa. Misalnya, apa yang mahu dijelaskan kepada anak-anak yang bertanyakan soal liwat ketika keluarga menonton berita TV jam lapan malam, yang seakan-akan memperincikan perlakuan songsang terkutuk itu apabila melaporkan perbicaraan mahkamah.


Bayangkan, insiden 12 tahun lalu masih segar di ingatan, sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat. Tragedi mata lebam makin menghangatkan iklim politik. Tilam diusung ke mahkamah, bersama cebisan lendir dan bulu. Siapa sebenarnya yang dibicarakan di mahkamah ketika itu? Anwar atau maruah-kehormatan orang Melayu sendiri yang dipertaruhkan? Permainan politik yang sepatutnya beroperasi dalam kerangka akhlak dan adab menjadi cukup kotor dan hina.


Ekoran daripada itu, Anwar merengkok di penjara selama enam tahun. Tidak lama selepas pembebasannya, pilihan raya umum 2004 menyusul. Mungkin personaliti Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan tiada isu-isu kontroversi membabitkan soal dalam kelambu dan keaiban peribadi.


Tsunami politik, Mac 2008 menyentak. PRU12 dikatakan membawa elemen politik baru yang lebih segar. Politik yang tidak lagi terkepung dengan sentimen perkauman atau bermodalkan fitnah-tohmah, sebaliknya bercirikan idealisme luhur, membahaskan isu-isu ketelusan, keadilan, tata kelola pemerintahan yang baik, serta memartabatkan hak asasi manusia.


Ekoran itu, peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan dipercepatkan. Malangnya, isu skandal peribadi muncul semula, juga membabitkan Anwar. Sekali lagi rakyat Malaysia terpaksa menyaksikan episod yang begitu mengaibkan. Istilah-istilah "geli-geleman" diperdengarkan kembali. Dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, pada pertengahan Ogos 2008, isu sumpah Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat heboh diperkatakan.


Tunas politik baru yang mula berputik seperti terbantut. Di Perak, politik ugut bercampur-aduk dengan tawaran rasuah bagi membeli Adun Pakatan Rakyat. Akhir Ogos 2008, kita juga mendengar kes-kes pelik seperti "habuan sedekah seks" yang dibawa ke mahkamah oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR, sekarang SPRM). Tidak lama selepas itu, Februari 2009, kerajaan PAS-DAP-KeADILan yang diterajui Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang.


Rupanya budaya politik kuno masih dominan dan akar tunjangnya masih menjalar kukuh.


Belum selesai kes liwat II, negara gempar lagi. Keaiban dipamerkan secara terbuka. Bagai mengulangi babak sebelum ini, perebutan "kuasa politik" juga menjadi paksinya. Dato' T tidak menunggu lama untuk tampil bangga membuat pengakuan. Lebih malang, menteri yang "menjaga polis dan undang-undang", Hishammuddin Hussein dan Nazri Aziz, berkokok dengan nada politik yang tebal.

Jelas mereka membela Dato' T, yang ketika itu belum dikenali. Tanpa mengetahui hujung-pangkalnya, Anwar dibelasah cukup-cukup. Sah, ia satu permainan politik tahap murahan. Ketua Pembangkang itu mahu diperosok sedalam-dalamnya -- dengan apa jua cara.


Tiada kelihatan langsung fokus Hishammuddin untuk menegakkan undang-undang. Hanya atas alasan tiada laporan polis dibuat, acara menonton video lucah di hotel mewah Carcosa Seri Negara itu seolah-olah bukan suatu kesalahan. Kecekapan, kebebasan dan tahap profesionalisme pihak polis diperjudikan. Sehinggalah Anwar sendiri membuat aduan rasmi di Balai Polis Dang Wangi baru siasatan dibuka.


Cuba kita gambarkan, sekiranya video lucah yang dipertontonkan kepada para wartawan itu menjadikan Perdana Menteri, Najib Razak atau timbalannya Muhyiddin, atau anggota kabinet yang lain sebagai sasaran, apakah pihak polis dan Hishammuddin sendiri selaku Menteri Dalam Negeri akan sabar menunggu laporan polis sebelum dapat bertindak?


Saya yakin, jika targetnya adalah Najib, seluruh kekuatan polis dan perisikan akan dikerah untuk menangkap Dato' T belumpun sempat tayangan adegan ranjang itu berakhir. Ia bukti amalan double-standard atau talam dua muka yang hanya merendahkan lagi kredibiliti pihak polis pada pandangan publik.

Mulut celupar Nazri memang sukar dikawal. Mengulas tayangan aksi seks melampau di Carcosa, Nazri bertegas bahawa tidak salah bagi penganjur di sebalik tayangan itu berbuat demikian. "Awak bagi tau apa yang salah. Semua orang kata ia melanggar undang-undang, tetapi bagi tahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang tahu, perlu tampil dan maklumakan kepada kami," katanya.

Menurutnya, jika tayangan yang diaturkan Dato' T dibuat untuk mencari keuntungan, maka ia satu kesalahan. "Ada pepatah menyebut, jangan bunuh pembawa berita," kata Nazri mempertahankan Dato' T daripada kesan undang-undang terutama Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.


Apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Abd Rahim Tamby Chik muncul membuat pengakuan bersama ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah (sambil mendakwa Bendahari Perkasa, Shuib Lazim turut terlibat) bahawa mereka bertiga adalah Dato' T, misteri video lucah itu mula tersingkap.


Sekali lagi, yang timbul adalah persoalan "kuasa dan dendam kesumat", bukannya isu akhlak atau kebenaran yang mahu ditegakkan. Siapa tidak kenal Rahim dan sejarah hitam politiknya? Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah disumbat ke penjara Kajang selama 18 bulan pada 1998 tentu masih menyimpan cerita menarik Rahim.


Saya sendiri pernah menulis dua buku politik tentang Rahim. Pertama, sebelum beliau bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1993, dalam regu Anwar, Team Wawasan. Tajuk buku itu, Anwar Salah Pilih, jelas menggambarkan peringatan saya bahawa Anwar melakukan kesilapan besar memasukkan Rahim ke dalam pasukannya.


Buku kedua, Siapa Dalang?, diterbitkan selepas Rahim dipaksa meletakkan jawatan atas alasan kepincangan moral. Anwar dilihat berperanan penting dalam kes penyingkiran Rahim.


Saya difahamkan ramai penyokong Anwar lega apabila mengetahui Rahim menjadi dalang pengedaran video lucah itu. Malah, ahli-ahli Umno sendiri "terkejut" dengan pembabitan Rahim, yang dijangka akan membawa lebih banyak masalah kepada Najib dan BN sendiri. "Silap jalan, jika terbukti ia fitnah semata-mata, isu ini boleh menguburkan Umno dalam PRU13 nanti," kata seorang aktivis Umno. "Kalaupun Umno mahu berkonspirasi, Rahim adalah orang yang terakhir menjadi pilihan Umno," tambahnya.


Namun begitu, episod ini baru saja bermula, penamatnya masih sukar untuk ditelah. Pengakuan Rahim tidak bermakna segalanya nampak mudah. Kita belum lagi mendengar reaksi Najib. Percaturan sedang berjalan. Seorang pemerhati politik berkata: "Pihak yang tidak banyak melakukan kesalahan akan lebih selamat."


Petang tadi (Jumaat) seorang rakan sempat berpesan kepada saya, jika kita tidak dapat menerima fitnah dilemparkan kepada Anwar, maka kita juga usah terjerat dalam perangkap sama apabila secara terbuka membuat tuduhan-tuduhan berkaitan perlakuan seks kepada Rahim. Begitu juga dengan dakwaan berterusan kepada Najib, berkaitan Altantuya.

Beliau meminta saya membaca tulisan terbaru Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Bekas Mufti Perlis itu menegaskan tindakan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik dilarang agama. "Sama ada PAS, Umno dan KeADILan; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka," tulisannya dipetik.

Artikelnya yang bertajuk Video Lucah dan Dosa Politik itu diakhiri dengan rumusan: "Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!"

Bagaimanapun, ingatan Anwar di majlis solat hajat di kediamannya, malam 24 Mac lalu patut menjadi renungan penggerak Pakatan. Seperti dilaporkan Harakahdaily, Anwar menekankan: "Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga. Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ia akan merugikan kita.

"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ia ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya."

Yang pasti, medan tempur di Sarawak yang nampak sedikit terabai dengan isu ini perlu diberikan perhatian serius. Fokus harus disasarkan ke sana.

Jembalang: Tak payah komen, bodoh sangat

Posted: 31 Mar 2011 01:20 AM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri menggelar parti selain BN, yang akan berkempen pada pilihan raya negeri Sarawak sebagai 'hantu' dan 'jembalang', mencerminkan ketakutan pemimpin BN itu.


Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian bagi menutup kelemahan BN setelah lebih 46 tahun menguasai negeri Bumi Kenyalang itu namun masih ketinggalan.

"Tak payah komen la...bodoh sangat.


"46 tahun lebih mereka di Sarawak, apa yang dibuat?" soalnya yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa.


Katanya, rakyat harus sedar bahawa BN telah menganaktirikan Sarawak sejak sekian lama.

Walaupun Sarawak kaya dengan hasil mahsyur jelasnya, namun rakyat dan negeri itu sendiri masih ketinggalan dari arus pembangunan.


Dan tidak pelik katanya jika Muhyiddin menuding jari kepada pihak lain bagi menutup kelemahan mereka apatah lagi berdepan pilihan raya negeri itu 16 April ini.

"Baru sekarang nak buat itu, buat ini," tambahnya.


Muhyiddin semalam menyifatkan parti selain BN yang akan menyertai pilihan raya Sarawak sebagai 'hantu' dan 'jembalang' dan perlu ditolak rakyat.

Katanya, sebahagian 'hantu' dan 'jembalang' itu sebahagiannya datang dari Semenanjung manakala sebahagian yang lain sudah ada di negeri ini dan akan menawarkan janji-janji manis.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Rakyat di pinggir Sungai Sarawak di Kampung Boyan-Gersik di Kuching semalam.

Tiada ulasan:

Nuffnang