Selasa, 26 April 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Artikel Sinar 26hb April

Posted: 25 Apr 2011 11:46 PM PDT

Antara Jauhari dan Manikam; Peribahasa yang Menggambarkan Realiti Dinihari.

'Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.'

Peribahasa ini semakin hari menjadi realiti rakyat terbanyak terutamanya golongan muda yang pada awalnya berbelanja besar di menara gading dengan penuh pengharapan untuk bekerja dan bergaji di masa hadapan, demi membina satu kehidupan dewasa yang selesa. Begitu juga pengharapan ibu dan ayah serta keluarga yang tidak sabar melihat kejayaan anak-anak di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Belum sudah kita bangkit daripada kejutan Laporan Bank Dunia, yang menyatakan bahawa Negara akan menjadi sebuah Negara muda secara demografi tetapi miskin secara ekonomi, kita diheret lagi dengan hutang isirumah yang sudah mencecah lebih RM500 billion atau 77% KDNK Negara. Kepala semakin pusing apabila melihat defisit Negara pula yang sudah melebihi 50% daripada KDNK.

Realitinya, harga barang makin naik, peluang pekerjaan dan tangga gaji semakin membeku, dan membawa bersama masa depan 'ekonomi pengais'.

Oleh itu apakah penyelesaian yang ditawarkan oleh kerajaan agar ekonomi Negara dan nasib rakyat tidak terperangkap di dalam 'ekonomi pengais'?

Yang ditawarkan adalah Model Ekonomi Baru (MEB) atau NEM dengan ETP. Bagaimana pula  NTA dengan empat tiang 1Malaysia, GTP, ETP dan RMK ke10? NKRA? NKEA? Adakah program-program ini memadai? Adakah program-program ini akan berjaya?

'Indah khabar daripada rupa'

Peribahasa inilah yang semakin hari menggambarkan segala tawaran kerajaan yang diikat rapi dengan berbagai akronim;  hanya indah khabar tetapi hakikat pelaksanaan adalah sebaliknya.

Daripada Menara Warisan Merdeka kepada projek Maha Gergasi (yang diberi kepada gabungan konsortium (JV), tetapi anti konsortium (anti JV) bila masa ditender secara terbuka kepada syarikat-syarikat bumiputera lainnya) Mass Railway Transit dan yang terbaru emel 1Malaysia kesemuanya memiliki satu ciri utama yang sama, iaitu mendahulukan kroni dan membelakangkan rakyat.

Bukan saja ekonomi menjadi ekonomi pengais tetapi ekonomi juga menjadi 'ekonomi pengaut' untuk kroni di mana rakyat sebagai pengais bertungkus lumus tetapi sebaliknya kroni mengaut kekayaan negara.

Nampaknya ekonomi saksama tidak berjaya diwujudkan dan rakyat tidak dapat menikmati kesenangan atau kesusahan seperti maksud 'hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah' atau 'yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing'.

'Harapkan pagar, pagar makan padi.'

Impian Malaysia yang menjanjikan kemakmuran dan kesejahteraan semenjak merdeka sekarang hanya tinggal bayangan kerana ekonomi pengaut berbajukan akronim menjadi teras kerajaan kini. Harta kekayaan negara diratah sesama sendiri, rakyat hanya mampu melihat.

Ketika pilihanraya dikatakan perjuangan untuk rakyat tetapi apabila sudah menang dengan penipuan di peti undi, budaya 'seperti kacang lupakan kulit' mula menjalar.

Negara merdeka dahulu sudah menjadi Negara polis.. Polis kini bukan menjaga rakyat bahkan melawan rakyat.

Penggunaan Akta Darurat untuk mengekang kemaraan rakyat melakukan perubahan. Undang-undang darurat terus dikekalkan walaupun sudah dicadang agar dimansuhkan pada sidang parlimen yang lalu telah ditolak mentah-mentah oleh Kerajaan. Ini membuktikan dengan Akta Darurat, Kerajaan kini kekal berkuasa.

Tiada pilihanraya bebas dan adil lagi telus. Demokrasi di Malaysia Demokrasi Tempang.Dakwat Kekal tidak dibenarkan, Undi Pos sebagai talian hayat. Kiraan semula di pusat pengiraan undi yang dahulu dibenarkan ditukar di saat akhir; hingga kalahnya kerusi DUN Senadin kepada BN dengan majoriti 58 undi. Terkini, Sarawak menjadi saksi bagaimana kebobrokan nyata Demokrasi di Malaysia.

'Air setitik dilautkan, tanah seketul digunungkan'

Alangkah menyedihkan apabila perkara kecil dibesar-besarkan manakala perkara-perkara besar diketepikan.

Dua isu besar yang menenggelamkan Negara dan melemaskan rakyat iaitu Transformasi Ekonomi Negara kepada ekonomi pengais untuk rakyat dan ekonomi pengaut untuk kroni atau lanun ekonomi manakala Transformasi Politik Negara dari Negara merdeka berperlembagaan kepada Negara Polis yang diperintah lanun politik.

'Harapkan pagar, pagar makan padi'

Yang paling mengejutkan, kata-kata Perdana Menteri yang menyatakan penganugerahan projek emel 1 Malaysia tidak membabitkan sesenpun dana rakyat dicurigai pabila Pengarah Perkhidmatan Perniagaan NKEA menjawab bahawa agensi kerajan membayar syarikat yang dianugerah sebanyak 50 sen bagi setiap emel yang diterima.

Justeru, bagaimana mahu mengharapkan transformasi, bilamasa transformasi politik yang mengembalikan ketelusan tidak mahu dilaksanakan?

Tetapi semua isu-isu dan cabaran perdana melanda Negara tidak diberikan ruang dibahaskan atau dipikirkan kerana perhatian rakyat dikalihkan, dipesongkan dan ditenggelamkan dengan isu-isu remeh dan ada yang penuh fitnah.

Buat julung kalinya, orang-orang asli di perkampungan DUN Belaga dipersembahkan tayangan video lucah menjelang Pilihanraya Negeri. Bukankah satu kegilaan namanya?

Kehadiran agensi-agensi kerajaan pusat di banyak lokasi mengundi di Sarawak, seperti TEKUN, KEMAS, dan JASA menggamatkan lagi keadaan pabila agensi-agensi sedemikian hanya celik pada warna bendera parti politik yang dikibarkan, tetapi buta melihat rakyat yang memerlukan.

'Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'

Kalau rakyat tidak bersatu menuntut keadilan, kebenaran dan hak sudah tentu keadaan Negara bukan sahaja kekal sama tetapi akan makin merosot akibat globalisasi dan korupsi.

'Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal'

Marilah rakyat sepakat untuk memulihkan demokrasi berpelembagaan melalui reformasi ibarat pulang ke pangkal dan bukan sekadar transformasi yang menyesatkan kita lagi.

Rakyat perlu sepakat menolak kerakusan pemimpin yang hanya mementingkan kroni dari rakyat. Reformasi Politik yang perlu dibawa bersama untuk kemakmuran dan kesejahteraan Negara.

Peribahasa Melayu ada nilainya. Jangan kita biarkan nilai tersebut hangus dalam kebejatan politik tanpa nilai.

Tiada ulasan:

Nuffnang