Ahad, 10 April 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


PAS KAWASAN TELUK INTAN LAWAT ULU BERNAM

Posted: 10 Apr 2011 06:54 AM PDT



TELUK INTAN, 9 April – PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan lawatan ke kawasan Ladang Ulu Bernam. Antara misi lawatan ialah bertemu rakyat serta mengenal pasti masalah rakyat terutama masyarakat ladang. Rombongan lawatan diketuai Yang DiPertua PAS kawasan, Ustaz Ismail Che Nik. Turut serta ialah ADUN Changkat Jong YB Hj. Mohd. Anuar Sudin, Ketua DHPP kawasan Sdr. Hacharan Singh serta kepimpinan PAS kawasan, Dewan Muslimat PAS kawasan,  dan PAS Cawangan Sungai Samak.
Perjalanan melalui ladang yang berdebu.

Jarak perjalanan memakan masa lebih satu jam walaupun kawasan tersebut berada di dalam DUN Changkat Jong. Antara aktiviti dijalankan ialah ziarah rumah ke rumah, penyampaian sumbangan dan pemeriksaan kesihatan.

Oleh kerana kawasan perumahan penduduk agak besar maka gerak kerja ziarah telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan 1 diketuai oleh YDP kawasan dan Kumpulan 2 pula diketuai oleh YB Hj. Anuar Sudin.
Pimpinan Dewan Muslimat kawasan dan cawangan yang turut serta.
Seorang penduduk memberikan penghormatan kepada YB Anuar.

Seorang penduduk memeriksa tekanan darah.

Rata-rata penduduk yang diziarahi berasa gembira akan kehadiran pimpinan PAS kawasan Teluk Intan dan wakil rakyat. Majoriti penduduk di sana adalah kaum India serta sedikit orang Melayu dan Cina.

Apa yang menarik ialah rombongan lawatan telah mendapat sambutan yang baik oleh para penduduk. Malah, pihak rombongan telah mendapat kerjasama beberapa pemuda MIC untuk menunjukkan rumah-rumah penduduk.
YB Anuar meneliti dokumen seorang penduduk yang belum mendapat bantuan kebajikan.
Muslimat melakukan pemeriksaan tekanan darah.
YB Anuar menyampaikan sumbangan.

Satu peristiwa, pihak muslimat tekah berjaya masuk ziarah ke rumah seorang wanita di mana suaminya merupakan seorang ahli jawatankuasa MIC Bahagian Teluk Intan. Mereka telah melakukan pemeriksaan kesihatan.

Pelbagai masalah telah ditemui seperti penduduk yang hidup susah, mempunyai anak yang ramai, OKU, warga emas, dan sebagainya.
Sdr. Hacharan Singh bertemu para penduduk ladang Ulu Bernam.
Berani - seorang muslimat mengetuk pintu rumah.

Antaranya, pihak YB Anuar sendiri telah bertemu dengan seorang penduduk yang telah diberhentikan kerja kerana sakit tetapi masih belum menerima bantuan SOCSO. Kes tersebut telah mendapat perhatian pihak YB Anuar.

Pihak rombongan juga bertemu masalah penduduk yang seorang anaknya masih belum mendapat surat lahir. Manakala rumah terakhir yang diziarahi, rombongan dibawa bertemu sebuah keluarga yang mempunyai anak seramai 17 orang di mana sebahagian besarnya anak mereka tidak bersekolah akibat kesempitan hidup. Pihak rombongan berjaya menyerahkan hanpir 20 kampit beras kepada para penduduk di sana. 
YB Anuar bersama wanita yang mempunyai 17 orang anak.
Singgah makan malam di Sg. Manila.

Dalam perjalanan pulang, rombongan PAS kawasan telah singgah berehat makan di rumah bapa kepada Ketua Cawangan Ulu Bernam di Kg. Sungai Manila.

intanhijau.blogspot.com

USTAZ ABDUL FATAH AWANG KEKAL KETUA PEMUDA PAS TELUK INTAN

Posted: 10 Apr 2011 04:45 AM PDT


TELUK INTAN, 10 April - Ustaz Abdul Fatah bin Awang kekal sebagai Ketua DPP Kawasan Teluk Intan di dalam pemilihan kepimpinan DPP kawasan bagi sesi 2010-2013 semasa Mesyuarat Agung Tahunan DPP Teluk Intan kali ke-29. Mesyuarat telah diadakan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan dekat sini baru-baru ini.

Di dalam agenda pemilihan ahli jawatankuasa, para perwakilan telah bersetuju sebulat suara untuk mengekalkan Ustaz Abdul Fatah sebagai ketua pemuda. Sementara itu, semua jawatan lain melibatkan pertandingan. Selepas pengundian dijalankan, jawatan Timbalan Ketua Pemuda disandang oleh Ustaz Muhammad Muhayadin dan Naib Ketua Pemuda pula disandang oleh Sdr. Mohammad Esma Hafiz Mat Esa.

Lapan ahli jawatankuasa baru telah dipilih ialah Eman Mizi,  Aziz Tajudin, Luffi Shamsuddin, Nazir Yusuf, Najib Mohammad, Amin Muhammad, Mohd. Nur Basyir Semanon dan Shahrul Iman Saleh.
Sdr. Safarizal Salleh menyampaikan ucapan yang bersemangat.

Sebelum itu, mesyuarat agung telah dirasmikan oleh Sdr. Safarizal Salleh, Penolong Setiausaha DPP Perak. Di dalam ucapannya, beliau telah memaklumkan bahawa DPP Perak kini sedang menekankan aspek ikon pemuda, keahlian pemuda dan akademi kepimpinan pemuda (AKP).

"Pemuda harus menjadi ikon kepada masyarakat melalui penampilan diri yang menepati ciri pemuda Islam dan bersikap positif dalam masyarakat. Pada masa yang sama, pemuda PAS juga perlu menjadi mata dan telinga parti di dalam mencari maklumat dan masalah rakyat." 
Ustaz Fatah menyampaikan cendera hati kepada Sdr. Safarizal.

Seorang perwakilan pemuda cawangan sedang melakukan pemilihan.

"Pemuda PAS juga perlu sentiasa prihatin dengan isu rakyat. Keluarlah dari kepompong dan turunlah ke padang bertemu dengan masyarakat," ujar beliau.

Beliau juga berkata, pemuda PAS khususnya Jawatankuasa Pemuda Cawangan perlu menjadi nukleus dalam masyarakat kerana merekalah yang berhadapan dengan rakyat. Oleh itu, para pemuda perlu harus bersedia pada bila-bila masa untuk berhadapan dengan pelbagai masalah rakyat.

"Ilmu-ilmu sebegini ada disediakan di dalam program-program Akademi Kepimpinan Pemud, " tambah beliau lagi. 

Sementara itu, di dalam ucapan alu-aluan, Ketua DPP Teluk Intan, Ustaz Abdul Fatah meminta para pemuda memahami benar-benar akan tuntutan kalimah syahadah itu sendiri agar mereka sedar akan tanggungjawab yang dipikul iaitu berperanan membawa risalah dakwah. Pemahaman terhadap tuntutan kalimah syahadah penting sebagai memandu gerka kerja pemuda supaya berada di landasan yang betul.

"Kadang-kadang pemuda hanya bersemangat apabila gerak kerja melibatkan aktiviti politik dan apabila isu menjadi sejuk maka sejuk jugalah jiwa pemuda. Kita hendak pemuda sentiasa panas dalam dalam perjuangan walaupun dalam situasi sejuk, " tambah beliau.

Akhirnya beliau amat mengharapkan pemuda cawangan dapat memberikan komitmen yang tinggi terhadap apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh parti terutama pemuda kawasan.

intanhijau.blogspot.com

Tiada ulasan:

Nuffnang