Rabu, 16 Mac 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Projek 'River Of Life' Disisih Dari ETP?

Posted: 16 Mar 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 16 MAC : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan berhubung projek 'River of Life' bagi pembersihan Sungai Klang di bawah Program Transformasi Ekonomi atau ETP.

Khalid melalui satu kenyataan medianya berkata, tuntutan itu dibuat beliau dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Datuk Seri Najib Razak semalam.

Menurut Khalid, beliau mahu Najib menjelaskan mengapa tiada sebarang perkara substantif yang dilakukan dalam menjayakan projek berkenaan walaupun mesyuarat telah diadakan dan dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Khalid juga menyatakan kekecewaan apabila timbul beberapa persoalan mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses membuat keputusan berkaitan projek tersebut.


Jelas Khalid, beliau juga turut mempersoalkan pemilihan syarikat MRCB-Ekovest yang didakwa dibuat secara tender terbuka.

"Pelan kewangan dan persetujuan antara kerajaan Persekutuan dengan MRCB-Ekovest berhubung projek River of Life dibuat secara keseluruhan dan jumlah tersebut akan dibayar kepada syarikat itu bagi menyiapkan projek berkenaan juga perlu dijelaskan oleh Datuk Seri (Najib Razak)," katanya.

Jelas Khalid, beliau turut mempersoal kenapa kerajaan Selangor disisihkan daripada projek pembersihan dan pembangunan Sungai Klang.

Najib juga diminta menjawab mengapa Lembaga Urus Air Selangor atau LUAS tidak diberi tanggungjawab terhadap projek pembersihan sungai di kawasan Selangor.

Khalid juga memohon peruntukan RM2 juta untuk disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sepanjang laluan sungai membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Khalid juga menjelaskan dalam suratnya itu bahawa kerajaan Selangor memulakan usaha membersihkan Sungai Klang kira-kira setahun lalu sebelum projek River of Life yang dibahagikan kepada tiga aspek iaitu pembersihan, pengindahan dan pembangunan berkenaan diwujudkan oleh PM.

Tambah Khalid, kerajaan Selangor juga telah menyenarai pendek tiga syarikat untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Klang.

Oleh sebab itu, beliau menyarankan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dengan tiga syarikat berkenaan bagi melihat teknologi yang dicadangkan oleh syarikat terbabit.


Sumber: TVSNEWS

Meninjau Keadaan Penduduk Rumah Panjang di Ulu Krian, Sarawak

Posted: 14 Mar 2011 07:38 PM PDT

Ulu Krian, 14 Mac 2011 – Dalam rangka kerja lawatan ke negeri Sarawak, YB Dr Xavier Jayakumar telah membuat lawatan keadaan penduduk di rumah panjang di Ulu Krian.

Hasil lawatan mendapati keadaan sekitar rumah panjang tersebut begitu daif. Jalan yang menghubungkan rumah panjang tersebut telah dibina hanya dengan batu kerikil sejak 20 tahun lamanya. Penduduk telah dijanjikan dengan jalan yang ditar setiap kali pilihanraya diadakan namun janji tersebut sehingga kini tidak dikotakan.

Begitu juga keadaannya dengan bekalan elektrik, kesemua penduduk terpaksa membeli sendiri generator bagi unit rumah masing-masing. Petrol dibeli dari pekan Seratok dan penggunaannya berkos RM200 hingga RM250 setiap bulan dan lebih sekiranya menggunakan generator yang lebih besar.

Kabel elektrik sebenarnya terdapat disepanjang jalan yang dibina, namun untuk mendapatkan pemasangan ke rumah individu perlu mendapatkan tandatangan dan sokongan ADUN. YB Dr Xavier Jayakumar diberitahu hanya mereka yang setia dan mematuhi syarat-syarat tertentu akan diberi sambungan kabel elektrik, bagi yang tidak maka sambungan kabel elektrik tidak akan dibuat.  


Bagi mendapatkan sumber air bersih pula, mereka perlu mendapatkannya dari sungai kerana tiada bekalan air  bersih dari sambungan paip walaupun pekan terdekat hanya 30 minit hingga 1 jam perjalanan dari sini. Keadaan ini turut menyebabkan sisa kumbahan dari tandas tidak dapat dipam dan disalurkan dengan sempurna. Ini juga boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti pencemaran air sungai berdekatan ketika hujan serta jangkitan daripada wabak penyakit berkaitan. 


Kehadiran YB Dr Xavier Jayakumar yang ditemani isterinya, Puan Sheila Devaraj dan para petugas disambut gembira dengan para penduduk berebut-rebut untuk bersalaman dengan mereka.



Keadaan yang daif dengan perabot yang terhad membuatkan YB Dr Xavier Jayakumar dan isterinya yang pada mulanya duduk di sofa, duduk bersama-sama penduduk di lantai sambil berbual mesra bertanyakan khabar mereka.

Di dalam rumah panjang ini, tiang yang diperbuat daripada 'kayu besi Borneo' merupakan asas kepada pembinaan rumah tersebut dan kemudiannya segala pembinaan dan penambahan telah dibuat disekelilingnya.


Kebanyakan anak-anak pergi bersekolah di asrama berdekatan dan akan pulang ke unit rumah masing-masing pada hujung minggu.

Keadaan mereka di rumah panjang ini sangat daif walaupun negara telah merdeka lebih 50 tahun dan pelbagai janji telah ditaburkan setiap kali pilihanraya. Mereka perlukan perubahan yang dapat membela nasib dan masa depan mereka. 

Tiada ulasan:

Nuffnang