Rabu, 2 Mac 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Malaysia boleh, Gaddafi tidak boleh

Posted: 01 Mar 2011 07:22 PM PST

Malaysia boleh, Gaddafi tidak boleh

oleh NURUL IZZAH
3/1/2011 9:06:48 AM
Kebangkitan semula demokrasi di dunia Arab menggamit imaginasi saya sekali lagi apabila berdepan rakyat Libya di pekarangan kedutaan negara itu Jumaat lalu.

Mereka melaungkan "Malaysia Boleh, Ghaddafi Tak Boleh" dengan penuh semangat, berserta senyuman lucu daripada kami yang berada di sana untuk serah memorandum tuntutan agar pembunuhan rakyat Libya dihentikan oleh Muammar Ghaddafi.

Angin perubahan ini sering menjadi topik perbualan dan ceramah semasa, berlatarbelakangkan perjuangan rakyat yang lapar, miskin, dan sengsara mencari peluang pekerjaan lantas memaksa anak-anak muda turun ke jalan raya bagi menyingkirkan Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir. Terbaru, proses sama di Libya – menantikan kejatuhan Ghaddafi.

Benar, kadar pengangguran Malaysia tidak setinggi negara-negara yang mengawal ketat setiap gerak-geri rakyat itu, bagaimanapun makna di sebalik laungan "Malaysia Boleh, Ghaddafi Tak Boleh" itu begitu mendalam bagi saya.

Sememangnya, petanda-petanda yang membawa kepada ledakan revolusi di negara-negara Timur Tengah ada yang mirip dengan negara kita, walaupun perbezaan jelas ketara. Ya, tidak semestinya rakyat Malaysia perlu turun ke jalan raya untuk mendesak perubahan. Tidak semestinya rakyat hilang keyakinan sepenuhnya terhadap sistem demokrasi walau dalam pilihan raya lepas RM2.4 juta dibazirkan melalui dakwat kekal yang dibatal penggunaannya pada saat akhir; walau Timbalan Pengerusi SPR akui dalam forum kelolaan Bersih pada 21 Januari lalu, bahawa SPR terpaksa tunduk kepada Kabinet.

Menilai SPR saja, sudah timbul tanda-tanda yang boleh sebabkan rakyat hilang keyakinan dengan sistem demokrasi Malaysia. Bagaimanapun, keyakinan utuh wajib dijana terhadap sistem demokrasi yang membolehkan perubahan dibawa melalui sistem pilihan raya adil dan bebas. Oleh sebab itulah saya mahu petanda-petanda kepada kebangkitan Arab ini ditangani. Ya, Malaysia terlebih dahulu mengenali demokrasi berbanding negara-negara Timur Tengah, tetapi status ini tidak bermakna jika hari demi hari sistem diperkenalkan untuk menjamin kebebasan warga pada Hari Merdeka, dirosakkan dan dirungkai secara sistematik demi mengekalkan beberapa elit pemerintah di tampuk kekuasaan.

Tetapi Malaysia, sama seperti negara-negara berhadapan kebangkitan Arab ini, juga negara polis. Sistem perundangan negara kita telah menginstitusikan kawalan-kawalan seperti cengkaman kuku besi terhadap rakyat yang menjustifikasikan Malaysia dipanggil negara polis. Takrif negara polis ialah yang kerajaannya menekan sebarang aktiviti sosial, ekonomi atau politik dengan menggunakan polis atau institusi lain ke atas rakyatnya.

Berbeza dengan negara demokratik yang mengamalkan kebebasan sepenuhnya dalam pilihan raya, media bebas, hormat kepada doktrin pemisahan kuasa, sistem kehakiman yang bebas, kesaksamaan dan kebebasan sivil dengan kerajaan bersama-sama polis berkhidmat untuk melindungi warganya.

Sebagai ahli politik pembangkang, saya boleh lihat takrifan negara polis ini dipenuhi melalui sistem pilihan raya yang berat sebelah dan memihak kepada pemerintah, ketiadaan kebebasan media dan juga badan kehakiman yang kelihatan seperti dikawal oleh institusi kehakiman.

Pihak polis juga sangat pantas sekali bertindak ke atas mereka yang mahu berhimpun secara aman. Hak untuk berhimpun sebenarnya dijamin perlembagaan, langsung tidak dihormati.

Mereka yang tidak bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan juga sentiasa takut dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang boleh digunakan untuk menahan tanpa bicara. Kita dapat lihat lewat 2008, bagaimana akta ini digunakan untuk menahan ahli politik pembangkang dan wartawan yang sewenang-wenangnya dituduh sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Malaysia tidak memenuhi takrifan negara polis ini dalam masa singkat. Kerosakan sistem demokrasi ini secara beransur-ansur dan kini seperti sudah terpahat dalam sistem pentadbiran negara dan untuk memulihkan kembali adalah satu tugas berat.

Bagi saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, usaha membina negara demokratik dan berdaya saing ialah melalui transformasi politik. Saya sudah menyebut sebelum ini mengenai keperluan meluluskan undang-undang pemulihan demokrasi yang perlu dibentangkan secara bersama-sama oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dalam sidang Parlimen akan datang.

Kalau Mesir yang punyai Perintah Darurat selama 30 tahun boleh menghapuskannya, apatah lagi Malaysia, menyaksikan berkuat kuasanya Perisytiharan Darurat selama 47 tahun lamanya! Justeru, saya harap sahutan agar Akta Pemulihan Demokrasi yang akan menarik semula Perisytiharan Darurat disambut semua Ahli Parlimen BN yang cintakan keamanan dan kebebasan tanah air!

Apabila Tunku Abdul Rahman membaca Pemasyhuran Kemerdekaan, beliau menjanjikan negara ini "kekal merdeka dan berdaulat berdasarkan kebebasan dan keadilan serta sentiasa menjaga serta mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya, mengekalkan keamanan antara segala bangsa."

Negara ini bermula dengan kebebasan. Kemerdekaan dicapai dalam keadaan pasukan keselamatan kita bergadai nyawa bagi menjamin kebebasan ekonomi dan politik rakyat yang diancam komunis.

Marilah kita sama-sama memastikan kembali pada kebebasan dengan rakyat tidak perlu ke jalan raya, hanya bersuara menerusi pilihan raya barulah laungan Malaysia Boleh itu mencapai maknanya sebenar! Malaysia Boleh, Ghaddafi Tak Boleh! * Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai

Tiada ulasan:

Nuffnang