
26 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
 
  MALAYSIA mencatatkan kehadiran 25 spesies betta  liar iaitu ikan hiasan dalam perairan air tawar negara. Spesies tersebut  berpotensi untuk dikomersialkan memandangkan ia mempunyai ramai peminat di  seluruh dunia. 
  Laporan oleh Fishbase 2011 menyebut bahawa  sebahagian besar ikan itu terdapat di Semenanjung Malaysia, lima spesies di  Sarawak dan empat spesies di Sabah. Daripada jumlah itu beberapa jenis pula  telah dikenalpasti berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan,  warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan.
  Antara spesies yang telah dikenalpasti ialah  Betta bellica, Betta coccina, Betta persephone, Betta livida, Betta pulchra,  Betta fusca dan Betta pugnax. Peminat ikan betta itu termasuklah mereka dari  Jerman, United Kingdom, Amerika, Jepun, Taiwan dan China. 
  Uniknya spesies itu adalah ia hanya ditemui di  rantau Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.
  Sehubungan dengan itu, Institut Penyelidikan  Perikanan (FRI) Glami Lemi di Jelebu, Negeri Sembilan telah mengenal pasti  beberapa spesies ikan hiasan tempatan terutamanya ikan betta yang sangat  berpotensi dikomersialkan untuk pasaran dalam dan negara, kata Pengarah FRI  Glami Lemi, Zulkafli Abdul Rashid. 
  Maklumat mengenai potensi spesies tempatan ikan  hiasan itu sebenarnya telah dikumpulkan sejak tahun 2000.
  Menurut Zulkafli, FRI telah memulakan kajian  dengan menjalankan aktiviti pengumpulan spesimen ikan dari habitat semula jadi  seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. 
  Spesimen ikan liar betta yang berjaya dikumpul  akan dipelihara dan dijinakkan dalam tangki di makmal FRI Glami Lemi sehingga  matang dan boleh membiak. Setakat ini, 10 spesies betta telah dapat dijinak dan  dibiakkan dalam makmal. 
  Zulkafli berkata, satu baka baru jenis Betta  Bellica, yang berasal dari hutan simpan paya gambut di Pagoh, Johor dan Sabak  Bernam, Selangor, berjaya dibiak dan dijinakkan dalam tangki dan berpotensi  besar untuk dipasarkan. 
  Spesies itu dilaporkan telah banyak terancam dan  diharapkan usaha pembiakan dapat diteruskan pula oleh penternak yang berminat  untuk tujuan komersial.
  "Spesies ini juga dikenali sebagai ikan pelaga  hijau, tempala atau sepilai oleh penduduk tempatan tapi kami menamakannya Betta  Manja kerana sifatnya yang begitu manja ketika lapar," jelas beliau.
  Berpotensi dikomersialkan
  Keistimewaan ikan hiasan itu ialah ia tidak  berlaga sesama sendiri seperti ikan pelaga Siam, selain mempunyai warna badan  yang cantik, bercoklat gelap, sisik berwarna hijau berkilat, mata berwarna biru  berkilat dan sirip ekor yang panjang berbentuk nyalaan lilin.
  "Ia sangat jinak dan makan di atas jari  pemiliknya. Spesies ini berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira  kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan,"  katanya.
  Pegawai penyelidik kanan FRI Glami Lemi, Mohamad  Zaini Suleiman pula berkata, ikan itu berpotensi dibiakkan dalam kurungan  (tangki) sebab sepasang ia boleh menghasilkan 200 ekor anak.
  "Jadi, dalam tempoh enam atau tujuh bulan,  saiznya mencecah kira-kira tiga setengah inci dan boleh dipasarkan pada harga  RM5 seekor manakala induknya RM10 hingga RM15 seekor. 
  "Ia juga boleh dikomersialkan dan dipelihara  dalam tangki untuk dijadikan peliharaan kesayangan kerana keistimewaannya yang  tidak takut untuk makan di tangan tuannya.
  "Tidak mustahil pada masa hadapan, ikan ini boleh  dijadikan sebagai ikan spa untuk urutan dan perubatan," katanya. 
  Pengarah teknikal dan pengeluaran Aquatics  International Sdn. Bhd., Syed Abas Alattas, berkata, sehingga kini belum ada  penternak ikan betta liar secara komersial di Malaysia. Pihak beliau akan  mengimport ikan itu dari Thailand sekitar 20,000 ke 30,000 ekor sebulan untuk  dieksport semula ke negara lain. 
  "Memang kita dapat keuntungan, tapi kalau boleh  dikeluarkan secara komersial di Malaysia adalah lebih baik," katanya. 
  Sementara itu, satu kolokium sehari telah  diadakan di FRI Glami Lemi baru-baru ini bertujuan memberi pendedahan kepada  golongan sasar akan potensi ikan betta bagi meningkatkan pendapatan.
  "Di samping menjana pendapatan, kolokium ini juga  diharap dapat memberi kesedaran kepada peserta tentang perlunya konservasi  terhadap khazanah semula jadi kita yang sangat bernilai untuk diwariskan kepada  generasi akan datang," kata Zulkafli. 
  Kolokium dengan tema "Khazanah Warisan Penjana  Kekayaan" itu diadakan untuk membentangkan kepada masyarakat terutama yang  terlibat dalam industri perikanan mengenai kejayaan dalam penyelidikan  perikanan. - Bernama